Masjid Wilayah Persekutuan

Latar Belakang

Masjid Wilayah Persekutuan terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur dibina di atas kawasan seluas 13.4 hektar (33 ekar). Masjid ini telah diserahkan kepada Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 4 September 2000.

Masjid ini telah direkabentuk dan diselia sepenuhnya oleh JKR Malaysia. Keluasan masjid adalah kira-kira 47,000 meter persegi. Masjid empat tingkat ini, mampu menampung sebanyak 17,000 jemaah dalam satu masa.

Masjid yang unik dan pelbagai fungsi ini, direkabentuk sebagai pusat keagamaan, pendidikan, dan aktiviti-aktiviti sosial selain sebagai rumah ibadat bagi umat Islam.

Seni bina masjid ini adalah berdasarkan lukisan semula Masjid Othman yang penuh dengan sejarah kegemilangan pada kurun ke-16. Terdapat 22 kubah termasuklah kubah utama, beberapa kubah-separuh, kubah semi bulat dan dan beberapa kubah kecil. Kubah utama berdiameter 30 meter dengan ketinggian 45 meter dari aras lantai dewan solat utama. Dewan solat utama, dewan serbaguna dan asrama dilengkapi dengan sistem hawa dingin. Masjid ini juga dilengkapi dengan sistem pemadam-kebakaran, perkhidmatan lif ke tingkat 4, dan eskalator yang menghubungkan tingkat 1 dan 3.

Konsep lanskap bagi masjid ini ialah, masjid dalam taman istana yang berunsurkan keislaman. Taman yang menarik, melengkapkan masjid sebagai pusat pendidikan, kajian dan rekreasi. Masjid yang dikelilingi kolam air menimbulkan suasana nyaman, tenteram dan tenang. Kawasan masjid juga dilengkapi dengan laluan pejalan kaki dan pancutan air. Pelawat akan tertarik dengan keindahan pelbagai spesis bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan yang ditanam di sini.

Maklumat Lanjut

Nama Masjid: MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN

Alamat: JALAN DUTA, 50480 KUALA LUMPUR

0 comments: