MELAKA 29 Dis. - Dua wanita yang sedang mengandung antara enam individu yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah di sebuah rumah, pertengahan bulan ini.

Nurrizah Zainal, 27, yang sedang sarat mengandung lapan bulan dan rakannya, Nur Asikin Abd. Rahman, 24, yang mengandung empat bulan bersama empat lelaki lain, menghadapi tiga pertuduhan setiap seorang.

Lelaki-lelaki tersebut terdiri daripada Mohd. Shafie Salleh, 24; Mohd. Rizal Ismail, 31; Mohd. Fazrin Muslin Md. Ghazali, 22; dan adik kepada Nurrizah, Noorfazry Zainal, 19.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 207.2 gram dan methamphetamine seberat 66.7 gram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah bernombor 214, Lorong Singa 6, Taman Sin Hoe, Bukit Baru di sini pada pukul 9 malam, 17 Disember lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh juga menghadapi tuduhan ketiga iaitu memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 16 gram pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan tersebut, dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada setiap tertuduh dan tiada sebarang jaminan ditawarkan oleh pendakwaan kerana kes itu melibatkan hukuman mati.

Majistret Mohd. Fairuz Johari menetapkan 1 Februari ini untuk sebutan semula kes tersebut Justify Fullsementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haslida Isamail.

0 comments: