Takdir Allah Taala Dalam CiptaanNya

Dalam hadis sahih disebutkan dari Rasulullah SAW bahawa beriman dengan takdir adalah satu bagian dari akidah. Umar bin Khattab r.a. menceritakan bahawa pada suatu ketika Rasulullah SAW didatangi oleh seorang lelaki yang pakaiannya serba putih, rambutnya sangat hitam, bekas perjalanannya tidak terlihat dan tidak seorang dari para sahabat yang hadir di situ yang mengenalnya, lalu ia mengemukakan beberapa pertanyaan. Selain perihal rukun-rukun Islam, juga rukun-rukun iman dan ihsan. Mengenai rukun-rukun keimanan ini, ia berkata, “Beritahukanlah saya tentang hal keimanan.” Rasulullah SAW lalu menjawab, “Hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitabnya, rasul-rasul-Nya, hari akhir dan beriman pula kepada Qadar (takdir) yang baik atau pun yang buruk.” Orang tersebut lalu berkata, “Tuan benar.'' Diriwayatkan oleh Muslim.
Orang tersebut adalah Jibril yang sengaja datang untuk memberikan pelajaran agama kepada umat beliau dengan jalan soal jawab.
Makna yang dapat difahami daripada takdir itu ialah bahawa Allah Taala membuat beberapa ketentuan, peraturan dan undang-undang yang diterapkan untuk segala yang maujud ini dan bahawa segala sesuatu yang maujud itu pasti akan berlaku, beredar dan berjalan tepat dan sesuai dengan apa-apa yang telah dipastikan dalam ketentuan peraturan dan undang-undang tadi.
Allah Taala berfirman, “Dan suatu tanda (kekuasaan Allah) untuk mereka itu ialah adanya waktu malam. Kami tanggalkan siang daripadanya, kemudian serta-merta mereka dalam kegelapan. Dan matahari itu berjalan di tempat peredarannya. Itulah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Mengetahui. Juga bulan telah Kami tetapkan tempat-tempatnya sampai kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua (melengkung). Tidak sepatutnya matahari mengejar bulan dan malam tidak dapat mendahului siang. Masing-masing itu berjalan dalam garis edarannya.” (Q.S. Yasin:37-40)
Beriman kepada takdir adalah sebagian dari kepercayaan atau akidah yang ditanamkan benar-benar dalam hati setiap orang muslim. Dalam hal takdir itu tidak ada pengertian paksaan. Imam Khattabi berkata, “Banyak orang yang mengira bahawa arti kada dan Qadar adalah pemaksaan yang dilaksanakan oleh Allah Taala kepada hamba-Nya untuk mengikuti apa saja yang telah digariskan menurut ketentuan dan keputusan-Nya. Padahal sebenarnya tidaklah demikian dan salah sekali apa yang mereka sangkakan itu. Yang benar ialah bahawa arti takdir itu adalah suatu pemberitahuan mengenai telah diketahuinya oleh Allah SWT perihal apa yang ada dalam perbuatan setiap orang yang berupa apa pun. Jadi timbulnya itu pun menurut takdir yang ditentukan oleh Allah Taala, sesuai dengan asli penciptaannya yakni tentang buruk atau baiknya
Ringkasnya, takdir itu adalah sebagai nama untuk sesuatu yang timbul yang ditentukan dari perbuatan Zat yang Maha Menentukan'. Dengan demikian, dapat kita maklumi bahawa Allah SWT itu pasti Maha Mengetahui apa-apa yang akan terjadi dan terlaksananya kejadian itu nanti pasti cocok sebagaimana yang telah diketahui dalam ilmu Tuhan itu. Tetapi sama sekali pengetahuan Tuhan tadi tidaklah akan memberi bekas apa pun pada kehendak seseorang hamba, kerana mengetahui itu adalah sifat penyingkapan sesuatu, bukannya suatu sifat yang memberikan kesan, bekas atau pengaruh. Sebagai contoh ialah seseorang ayah yang mengetahui bahawa anaknya itu pandai, cerdik dan cerdas otaknya, giat dalam mempelajari semua pelajarannya dan berusaha keras untuk menghafal dan memahaminya. Pengetahuan semacam ini belum tentu akan memberi kebahagiaan atau kelulusannya kepada anak itu dalam menempuh ujian. Demikian sebagai misal yang mudah kita mengerti.

0 comments: