Anak Norlia mati jatuh flat


NORLIA (kiri) diiringi seorang saudaranya di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Ketika umat Islam masih lagi gembira menyambut Aidilfitri yang baru seminggu berlalu, lain pula dengan keluarga pelakon veteran Norlia Ghani yang kehilangan anak ketiganya daripada empat beradik.

Edi Rizal Ramli, 33, meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat terjatuh dari tingkat tujuh Rumah Pangsa Murni Titiwangsa di Jalan Gurney di sini pada pukul 1.41 petang semalam.

Edi yang merupakan adik kepada pelakon Rusdi Ramli terjatuh dari flat 13 tingkat itu ketika mengejar seorang pencuri yang menceroboh sebuah rumah di tingkat tujuh.

Seorang saksi, Mazlan Abdullah, 35, berkata, dia nampak bagaimana Edi terhempas bersama sebatang kayu yang dipegangnya untuk menghalau pencuri yang masuk ke rumah jiran yang tiada penghuni.

"Ketika itu Edi yang bersenjatakan kayu memanjat balkoni untuk masuk ke rumah jiran yang dimasuki pencuri.

"Entah macam mana, dia tergelincir lalu terhempas ke kaki lima," cerita Mazlan yang sedih dengan kejadian menimpa Edi.

Selepas terjatuh, Edi masih bernyawa dan beberapa penduduk termasuk seorang doktor dari sebuah klinik berdekatan memberi bantuan kecemasan kepada Edi sebelum dia dibawa ke hospital dengan ambulans.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, Edi mati sebaik dia sampai di HKL akibat cedera parah di kepala.

0 comments: