Khutbah Jumaat: Menghadapi Hari Tua

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
16 Februari 2001 / 22 Zulkaedah 1421
Menghadapi hari tua
Sidang Jumaat rahimakumullah,

Marilah kita ambil kesempatan pada hari Jumaat yang penuh berkah ini, untuk kita tingakatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah. Marilah kita mendekatkan diri kita kepada Allah, kita jauhi segala laranganNya, dan kita laksanakan perintahNya, dan kita giatkan dan gandakan lagi amal ibadah kita kepada Allah.

Maasyiral Muslimin rahimakumullah,

Kita bersyukur kepada Allah kerana telah melanjutkan usia kita dalam keadaan sihat sejahtera dan dalam keadaan iman dan taqwa, sehingga kita dapat berkumpul pada hari ini untuk mengerjakan solat Jumaat. Dan kita berdoa kepada Allah agar kita terus dipanjangkan usia dalam keadaan sihat sejahtera dan penuh keimanan agar kita dapat gandakan amal ibadah kita kepadaNya.

Akan tetapi Allah telah menentukan siapakah yang akan kembali kepadaNya dalam keadaan masih muda, dan siapakah yang akan menetap di dunia ini sehingga tua sebelum kembali kepadaNya. Maka setiap dari dua golongan tersebut harus membuat persiapan. Yang akan kembali kepada Allah ketika muda mesti berhenti dari segala perbuatan maksiat dan gandakan ibadah mereka agar apabila mereka kembali kepada Allah, mereka kembali dalam keadaan yang diredhai Allah.

Manakala golongan kedua pula, yang akan dilanjutkan usianya, maka perlu membuat persiapan dari sekarang, ketika masih muda lagi, ketika tubuh badan masih kuat lagi. Jangan ditunggu sehingga datang waktu senja, barulah hendak dibuat persiapan.

Akan tetapi, saudara-saudara sekelian, kita tidak tahu, mana satukah antara dua golongan yang disebutkan tadi, akan kita digolongkan. Adakah kita dipanggil kembali kepada Allah dalam waktu muda, atau kita dilanjutkan usia sehingga waktu senja. Apapun ketentuan Allah, satu perkara yang tidak dapat dielakkan adalah hakikat bahawa kita semua akan mati. Samada waktu muda atau tua, hanya Allah sahaja yang mengetahui.

Maka perlu kita membuat persiapan. Andainya kita ditakdirkan mati dalam waktu muda, kita perlu membuat persiapan untuk alam kubur dan akhirat. Dan seandainya kita dilanjutkan usia ke tua, kita perlu membuat persiapan juga. Malah persiapan yang lebih lagi dari segala segenap sudut: rohani, jasmani, keluarga dan kewangan. Waktu muda akan berlalu dengan pantas. Seseorang yang baru mula bekerja dan membina keluarga, tidak lama kemudian dia akan mendapati bahawa umurnya sudah hampir senja dan anak-anaknya sudah dewasa. Kesibukan hidup di dunia ini melekakan. Hari-hari berjalan dengan pantas. Tiba-tiba sudah bulan baru. Tiba-tiba sudah tahun baru. Maka kita perlu rebut waktu muda kita sebelum ia dengan pantas meninggalkan kita.

Saudara-saudara sekelian,

Pepatah Arab mengatakan bahawa mereka yang membesar dengan satu tabiat, akan kekal tabiat tersebut sehingga tua. Pepatah Melayu pula mengatakan bahawa melentur buluh biar dari rebungnya. Waktu muda adalah waktu rebung. Waktu tua, waktu buluh sudah keras. Maka penting bagi kita untuk memulakan dan membiasakan diri dengan tabiat atau perbuatan yang baik diwaktu muda, agar ia kekal sehingga hari tua kita.

Kita perlu mejaga kesihatan kita dari waktu muda lagi. Lakukanlah senaman dan jagalah makanan. Sesungguhnya orang Mukmin yang kuat dan sihat adalah disukai oleh Allah dari orang Mukmin yang lemah. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kita agar menjaga tubuh badan dari sudut makanan, kerana makanan adalah punca banyak penyakit. Makanlah makanan yang bukan sahaja halal, tetapi baik untuk kita, yang memberi kita kecergasan untuk lebih giat melakukan amal kebaikan. Dengarlah firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah, ayat 172:
Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami telah berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Alla, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.

Dengan menjaga makanan, dan giat melakukan senaman, kita akan sihat tubuh badan. Kesihatan tubuh badan adalah penting agar kita dapat terus melakukan ibadah kepada Allah.

Kedua, kita juga perlu buat persiapan dari sudut kewangan. Biasakan diri dengan sifat jimat cermat dan tidak boros. Mulakan sifat menabung untuk hari hujan dan hari senja. Dengan perancangan yang baik dan sifat tidak boros, ia akan memberi kita untuk terus berdikari sehingga hari tua tanpa mengharapkan sangat sumbangan wang anak-anak kita. Sebaliknya, jika kita boros berbelanja dan tidak memikirkan masa tua kita dengan cerman, kita akan akhirnya merana apabila ditimpa kesusahan atau apabila sudah tua kelak. Allah s.w.t tidak suka kepada orang-orang yang boros dan membazir. Allah sifatkan orang-orang sedemikian sebagai saudara syaithan, sepertimana yang termaktub dalam surah Al-Isra’ ayat 27:
Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaithan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Saudara-saduara sekelian,

Perkara yang paling terpenting kita melakukan persiapan sebelum menghadapi hari tua adalah persiapan rohani. Ramai yang menyangkan bahawa pada waktu muda mereka boleh bergembira dan melanggar batas-batas yang telah ditetapkan Allah. Mereka menyangka bahawa nanti pada hari tua boleh bertaubat dan giat beribadah.

Ketauilah saudara-saudara sekelian, bahawa apabila seseorang sudah terbiasa dengan perkara maksiat berpuluh tahun lamanya, dan apabila seorang dengan mudah melanggar perintah Allah pada waktu mudanya, maka adalah satu perkara yang hampir mustahil baginya untuk meninggalkan segala perbuatan buruk tu dan terus beribadat. Seseorang yang tidak rajin melakukan ibadah pada waktu mudanya, akan merasa berat, malas dan payah untuk meningkat amal ibadah. Adakah ini yang kita ingin berlaku pada diri kita apabila tua kelak?

Sudah tentu jawapannya adalah tidak. Maka kita mesti membuat persiapan dari sekarang. Kita mesti meninggalkan segala maksiat agar tidak terbawa-bawa ke alam tua. Dan kita mesti berusaha meningkatkan kualiti ibadah kita, amalan-amalan sunat kita, agar kita terbiasa melakukannya. Ini akan memudahkan kita melakukan lebih banyak amal ibadah di waktu tua tanpa ras kekok, payah, berat dan malas.

Mudah-mudahan Allah menjadikan hari-hari tua kita waktu yang penuh faedah dunia dan akhirat, ameen ya rabbal ‘alamin.



0 comments: